Sabtu, 9 Oktober 2010

UPSR kekal, PMR diganti penilaian sekolah mulai 2016: Muhyiddin

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 09/10/2010

SYDNEY: Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan dan diganti dengan penilaian sekolah mulai 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR.

"Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik.

"Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan.

"Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari terakhir lawatannya di bandar raya ini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga itu yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementeriannya.

Jamboree Pengakap Sempadan Kelantan - Thailand

Salam semua,

Disini pihak admin mengucapkan "Selamat Berkhemah" kepada Guru Besar kami; En. Ismail bin Hj. Buang selaku Ketua Kontigen Negeri Johor serta Pn. Noornilly Kaswahida binti Kasim sebagai Pegawai Pemimpin yang turut serta di dalam perkhemahan kali ini. Jambori kali ini akan bermula pada 9hb Oktober 2010 sehingga 16 Oktober 2010 bertempat di Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan, Kelantan. Kami mendoakan kesejahteraan anda semua di sana dan berharap agar perkhemahan ini akan meningkatkan serta mengharumkan nama sekolah di persada antarabangsa.

"KAMI BUAT HABIS BAIK"

Sekian.

Isnin, 6 September 2010

Salam Lebaran..

Salam semua,

Pihak SK Tambang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga SK Tambang khasnya dan seluruh umat islam di serata dunia amnya. Semoga Syawal kali ini mendatangkan keceriaan, kegembiraan dan kebahagian buat kita semua. Pihak SK Tambang mendoakan semoga perjalanan anda sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH S.W.T. Berhati-hati di jalanraya, pandu cermat jiwa selamat. InsyaAllah.. Amin..




Sambutan Hari Kemerdekaan di SJKC Tambang


Salam semua,

Pada 30/8/2010 yang lalu, SJKC Tambang dibawah program RIMUP telah mengadakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-53. Pihak SK Tambang telah dijemput untuk bersama-sama menjayakan sambutan ini. Tujuan program ini adalah untuk menyemarakan lagi semangat cintakan negara, mengeratkan hubungan silaturahim antara murid dan guru-guru serta mengekalkan tahap perpaduan antara kaum yang terdapat di Malaysia. Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena sambutan kali ini seperti nyanyian lagu Negaraku, Tanggal 31, Keranamu Malaysia, tarian pelbagai kaum, kraftangan dan aktiviti mewarna.

Pihak SK Tambang amat berbesar hati dapat turut serta menjayakan sambutan kali ini. Ucapan terima kasih dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-53 jua diucapkan kepada seluruh warga SK Tambang dan SJKC Tambang. Bersama-samalah kita menyemarakan semangat 1 Malaysia Menjana Transformasi.  

Selamat Hari Merdeka!!!





Salam kemerdekaan dari pihak SK Tambang untuk semua. Wasalam.

Rabu, 1 September 2010

494,493 pelajar duduki UPSR 21-23 September

KUALA LUMPUR: Seramai 494,493 murid akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari 21 hingga 23 September ini di seluruh negara.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran, dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata daripada jumlah itu 373,190 murid adalah dari Sekolah Kebangsaan, 96,166 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 16,965 dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Selebihnya adalah calon dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu seramai 8,163 dan 9 orang dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina. "Peperiksaan akan diadakan di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara yang melibatkan 47,768 petugas peperiksaan," menurut kenyataan itu.

Semua calon diingatkan supaya merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran semasa peperiksaan berlangsung. - BERNAMA
 
Pihak sekolah sentiasa mendoakan agar murid Tahun Enam tahun ini iaitu seramai 5 orang dapat mencapai keputusan yang cemerlang. Kami sentiasa menyokong anda!!. Lipat gandakan usaha anda untuk mencapai keputusan yang terbaik!! Kami Yakin Anda Pasti Boleh!!!

Jumaat, 13 Ogos 2010

Masak jemput-jemput..

Salam semua,

Tahniah kepada semua ahli pengakap SK Tambang kerana telah berjaya mempelajari aktiviti ikhtiar hidup bagi memasak makanan. Aktiviti kali ini diselia oleh Cik Noraliza Nordin dan Pn. Norliza yang bertindak sebagai Pemimpin Pengakap Sekolah.

Aktiviti kali ini juga adalah untuk meningkatkan tahap kerjasama dan tolong-menolong di antara semua ahli pengakap. Aktiviti kali ini juga ada cabarannya. Semasa aktiviti memasak jemput-jemput, tiba-tiba hujan turun, semua terpaksa bergegas ke tempat berteduh bagi mengelakkan terkena hujan. Masing-masing sibuk mengangkat bahan masakan, kuali, memadam api dan sebagainya dari terkena air hujan. Walau bagaimanapun keadaan dapat dikawal dengan baik oleh Pemimpin Pengakap Sekolah. Pihak admin mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS diatas usaha yang dijalankan kali ini.

 



Salam Ramadhan untuk semua..

Salam,

Pihak Sk Tambang mengucapkan Selamat Berpuasa buat semua warga SK Tambang, seluruh umat islam amnya. Semoga Ramadhan kali ini memberikan kita barakah dan keampunan dari-NYA.Amin.. Salam Ramadhan Al-Mubarak..

Sabtu, 31 Julai 2010

Beri perhatian terhadap keselamatan pelajar

Sumber : Utusan Malaysia 31/07/2010

KUALA LUMPUR 30 Julai - Para guru diminta memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah termasuk selepas sesi persekolahan bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan risiko jenayah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ketika membuat gesaan itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan keselamatan pelajar yang berada di kawasan sekolah."Guru haruslah memantau pelajar di kawasan sekolah termasuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa untuk pulang dan memberi bantuan seperti menelefon penjaga atau ibu bapa pelajar tersebut.

"Pelajar yang berseorangan di kawasan sekolah selepas waktu sekolah, terdedah pada bahaya tertentu seperti jenayah penculikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar di Besut, Nur Muni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, yang diculik ketika baru keluar dari pintu pagar sekolahnya pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Nur Muni Ainun Izzati diculik oleh seorang pemuda, 23, dan remaja berusia 15 tahun tetapi cubaan mereka gagal setelah kereta yang dinaiki terbabas ke dalam parit. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. Dua suspek dalam kes itu kemudiannya ditahan polis dan kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Alimuddin juga meminta para pengetua dan guru besar sentiasa mengingatkan pelajar mereka agar lebih berhati-hati terutamanya jika didekati oleh orang yang tidak dikenali. Katanya, pelajar juga dinasihatkan supaya tidak berada bersendirian tetapi haruslah bergerak secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko jenayah.

Rabu, 14 Julai 2010

Tempoh cuti sekolah kekal

Sumber : Berita Harian 14/7/2010

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak akan memanjangkan tempoh cuti persekolahan pada September depan walaupun ia bertembung dengan tarikh Aidilfitri yang dijadual disambut pada 10 hari bulan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian mengambil keputusan untuk tidak mengubah takwim persekolahan sedia ada kerana berpendapat tempoh cuti perayaan yang diperuntukkan sudah memadai.

Katanya, kementerian turut mengambil kira kepentingan pelajar lain, terutama calon yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 21 hingga 23 September depan.

"Pelajar mula bercuti pertengahan penggal pada 4 September dan kembali ke sekolah pada 13 September selepas Aidilfitri," katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-2 2010, semalam.

Khamis, 24 Jun 2010

Cikgu Prasekolah baru...

Salam semua,

SK Tambang mengucapkan selamat datang kepada seorang guru baru iaitu Pn. Norliza binti Ismail. Pihak sekolah amat mengalu-alukan kehadiran beliau ke sekolah ini. Semoga beliau dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang di dalam mendidik anak murid prasekolah di sekolah ini. Selamat maju jaya!!!

Selamat bertugas di tempat baru...

Salam semua,

Pada 4 Jun yang lalu, SK Tambang telah mengadakan majlis perpisahan seorang guru yang berdedikasi di dalam mendidik murid prasekolah disini. Beliau telah bertukar ke negeri Selangor. Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Linda diatas sumbangan dan kerjasama beliau di sekolah ini. Jasamu akan kami kenang sepanjang hayat. Kami mendoakan agar Cikgu Linda lebih bersemangat di tempat baru dan menjadi guru yang cemerlang. Akhir sekali, jangan lupakan kami disini. Selamat Bertugas!!







Jumaat, 28 Mei 2010

Program latihan kebakaran dan keselamatan bersama pihak Bomba Segamat














Pada 30 April yang lalu, program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Program ini adalah program RIMUP dan pihak sekolah telah mengundang SJKC Tambang dan SK Mensudut Pindah untuk turut serta bagi memeriahkan program ini. Terima kasih semua atas kerjasama di dalam menjayakan program ini.

Ini adalah sebahagian dari gambar-gambar yang sempat diambil dari program tersebut.

Pihak Bomba dan guru sedang memastikan semua murid berada di kawasan selamat.


Seorang mangsa ditemui pengsan. Pihak Bomba menjalankan tugas begitu pantas sekali.


Semua tengah khusyuk dengar penerangan dari pegawai bomba

Wah besarnya api... ni leh terbakar muka aku nie...


En. Bomba.... kalau buat BBQ bagus gak ni..hehehe


Apahal lak api ni tak nak padam-padam.. time aku jer buat hal lak.. nak ngorat la tu..

En. bomba.. apahal kecik jer air nie... siram bunga pun bagus gak nie.


En. bomba.. kalau saya buat spiderman leh tak?....


Cikgu!! saya tak kira... saya nak jadi bomba gak.. cikgu jangan kejar saya...


Terima kasih semua.. !!!

Inilah sebahagian dari gambar-gambar yang sempat diuploadkan. Harap semua terhibur. Buat pihak Bomba Segamat, SJKC Tambang, SK Mensudut Pindah dan warga SK Tambang diucapkan ribuan terima kasih dan diharap dapat berjumpa lagi di masa akan datang. Syabas SK Tambang!!!



.